Kebiasaan Yang Akan Menjadikan Poket Kita Tebal Dan Selesa






Pernahkah kita terfikir bagaimana gembiranya hidup jika mempunyai lebihan gaji di dalam tabung simpanan setiap bulan? Jumlah yang sedikit atau banyak bukan menjadi persoalan. Walaupun menyimpan hanya RM10 sebulan, dalam masa 12 bulan, kita telah ada simpanan sebanyak RM120 setahun. Ada orang bertanya, nak buat apa dengan RM120? Sikit sangat. 

Sekurang-kurangnya dengan RM120 yang ada, kita tidak perlu meminjam atau berhutang hanya semata-mata untuk memperbaharui lesen memandu. Bukan? Ramai di antara kita yang mengeluh kerana duit sentiasa habis dan disebabkan oleh kos kehidupan yang semakin tinggi. Di sini lah sepatutnya pendidikan kewangan bermula. 

Skim Ansuran Mudah (Hutang Sana Sini)
Tidak dinafikan, ramai yang masih lagi bergantung kepada skim ansuran mudah untuk membeli sesuatu barang. Pendingin hawa, peti sejuk, motorsikal, perabot dan barang-barang elektrik lain menjadi pilihan untuk membeli secara skim ansuran mudah.  Bukan tidak boleh, tetapi buat pilihan yang bijak

Penyelesaian 1: Jika perlu membeli barang-barang tersebut, kumpul sedikit wang, kalau dapat dalam 50% dari harga barang tersebut pun tidak mengapa. Jika harga peti sejuk berharga RM1200, simpan dulu dalam RM600 dan baki harga peti sejuk? Mohonlah skim ansuran mudah. Dapat kurangkan bayaran faedah dalam 50% pun sudah banyak. 

Penyelesaian 2: Mohon kad kredit yang mempunyai kemudahan untuk membeli secara ansuran dengan 0%. Selepas mohon, beli barang dan potong kad tersebut dan buang jauh-jauh.... Sekurang-kurangnya anda dapat membeli secara ansuran tanpa membayar sedikit faedah pun. Tapi jangan lah lupa membayar kad kredit secara penuh setiap bulan (mengikut kadar bayaran yang ditetapkan)

Sayangkan Duit Sayangkan Interest

Berapa ramai di antara kita yang mempunyai simpanan tetapi masih lagi berhutang untuk membeli barang? Jika kita mempunyai simpanan yang banyak, tetapi masih lagi membeli barang secara ansuran, cuba lah ubah kebiasaan tersebut. Gunakan sahaja duit simpanan yang ada. Mengurangkan simpanan lebih baik dari meningkatkan jumlah interest yang berkali ganda, secara tidak langsung akan mengurangkan juga kemampuan kewangan kita

Penyelesaian : Asingkan simpanan kepada jangka sederhana dan jangka panjang. Untuk membeli barang-barang keperluan, keluarkan wang dari simpanan jangka sederhana. Jangan kerana ingin nampak simpanan yang banyak, terpaksa membayar berkali ganda untuk membeli barang keperluan rumah.


Suka Kereta Baru Tidak Suka Kereta Lama

Tidak salah untuk memiliki kereta baru, kerana ada kelebihan dan kekurangannya apabila membeli kereta baru atau kereta terpakai. Kereta baru kurang masalah (jika bernasib baik), hanya perlu memastikan kereta di selenggara secara berkala. Tetapi kekurangannya apabila setiap bulan kita perlu membayar jumlah bayaran ansuran selama beberapa tahun.

Penyelesaian 1 : Beli kereta baru tetapi kurangkan 50% daripada kereta yang menjadi keinginan kita. Sebagai contoh, jika kita ingin membeli kereta berharga RM120 ribu (yang mungkin ansuran bulanan mencecah lebih RM1,200 bergantung kepada jumlah tahun diambil). Apakata membeli kereta baru yang berharga RM 60 ribu sahaja yang jumlah ansurannya hanya beberapa ratus ringgit sahaja. Lebihan duit ansuran bulanan,? Gunakan atau simpan sebagai persediaan untuk menyelenggara kereta nanti.

Penyelesaian 2 : Beli kereta terpakai yang baru. Macam mana tu?, Kereta terpakai akan susut nilainya. Kereta yang pernah dipamerkan di bilik pameran ada yang dijual dengan harga yang kurang beribu-ribu dari harga asal.

Yang kedua, beli kereta model tahun sebelumnya. Dari pemerhatian secara rambang, apabila pengeluar ingin mengeluarkan kereta model terbaru, pasti mereka akan menurunkan harga kereta-kereta model yang lama, sekiranya harga tidak diturunkan, ada  pengeluar menjanjikan pembelian kereta secara tanpa faedah dan jangka masa jaminan yang lama.

Yang ketiga, beli kereta terpakai kurang dari 2 tahun. Kebanyakan kereta-kereta begini masih lagi elok keadaannya dan dengan susut nilai kereta, anda pasti dapat membeli kereta yang hamper pasti baru tanpa membayar dengan harga yang agak tinggi.


Suka Rumah Baru Tidak Suka Rumah Lama
Apabila keluarga semakin bertambah, dan berkembang, secara tidak langsung, rumah yang kita beli semasa masih bujang terasa kecilnya. Untuk membeli rumah lain yang lebih besar, pada masa sekarang ini mungkin berada di luar kemampuan kita yang sebenar. Untuk itu, ramai yang membuat keputusan untuk membuat ubahsuai rumah dengan membesarkan rumah. Untuk mengubahsuai itu tidak salah, tetapi yang mungkin salahnya ialah wang yang di laburkan. Adakah kita tidak boleh mengubahsuai rumah? Boleh….

Penyelesaian : Buat ubahsuai secara berperingkat. Jika jumlah ubahsuai keseluruhan rumah berharga RM120 ribu, kenapa tidak kita kurangkan bajet tersebut kepada RM60 ribu sahaja. Dan pada masa akan datang, simpan dulu wang gaji kita dan dalam masa 10 tahun lagi, tambah lagi keluasan rumah. Pada masa tersebut , mungkin rumah yang kita ubahsuai pada 10 tahun sebelum itu sudah usang dan perlu di perbaiki dan simpanan kita pun dah berganda. Dengan cara ini kita dapat mengelakkan pembaziran membesarkan rumah kerana anak-anak yang semakin membesar, satu hari nanti mereka akan meninggalkan rumah tersebut juga. Malah, jika anak-anak memasuki sekolah berasrama, seawal umur mereka 13 tahun,  mereka telah meninggalkan rumah dan hanya pulang untuk waktu yang singkat.

Penyelesaian 2 : Trend membina rumah konsep ‘townhouse’, ‘rumah sublet ‘ dan juga ‘rumah backpackers’ semakin mendapat tempat. Semakin banyak rumah-rumah di bandar-bandar besar terutamanya yang mempunyai 2 atau 3 penghuni berlainan yang hanya menyewa bilik di dalam rumah yang sama. Transformasikan rumah anda kepada rumah gaya ini. Saya pernah membaca kisah seorang wanita yang telah menyekat rumah dua tingkat beliau menjadi dua buah rumah. Semasa dia sihat, dia memilih untuk tinggal di rumah atas, dan apabila dia semakin uzur, dia memilih untuk tinggal di rumah bawah. Apabila ditanya, kenapa dia tinggal di atas tidak tinggal di rumah bawah miliknya… Dia berkata, rumah bawah sewa mahal, bila dia semakin tua, dia pindah tinggal di rumah bawah, walaupun sewa rumah atas agak murah, sekurang-kurangnya ada pendapatan tambahan untuk dia dan yang penting, masa tersebut simpanan KWSP pun sudah dapat dikeluarkan .


Suka guna pascabayar tidak suka menggunakan prabayar

Bermula pada  April 2015, kerajaan telah mengenakan cukai GST temasuk kepada pelanggan bagi pelan pascabayar. Kenapa tidak bertukar kepada pelan prabayar tanpa GST? Sekiranya bil bulanan anda sebanyak RM300, ini bermakna anda perlu membayar cukai GST sebanyak RM18 sebulan sahaja. Untuk setahun, cukai GST yang perlu anda bayar adalah sebanyak RM216, hamper sama kepada jumlah peruntukan bil telefon anda sebulan. Ini baru kiraan GST, belum termasuk bayaran lain kerana ada penyedia perkhidmatan yang mengenakan caj cetakan bil dan sebagainya.

Penyelesaian : Bertukarlah kepada pelan prabayar yang lebih menjimatkan. Sekurang-kurangnya anda dapat mengawal jumlah perbelanjaan anda setiap bulan. Malu jika rakan anda tahu? Bukan mereka tahu pun nombor anda itu prabayar atau pascabayar.

Untuk lagi lebih berjimat, cuba lihat-lihat pelan prabayar yang sah untuk 28 bulan tanpa perlu topup setiap bulan ini. SIMKAD PALING JIMAT. TAK PERLU TOUP UNTUK 28 BULAN
 

Suka Bercuti Tidak Suka Mengembara

Trend untuk bercuti keluar negara semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia. Seingat saya, trend ini semakin ketara semenjak penubuhan Air Asia yang dikenali sebagai syarikat penerangan tambang murah di rantau Asia. Terdapat perbezaan di antara mereka yang ingin bercuti dan mereka yang ingin mengembara. 

Pengalaman seorang rakan yang pernah mengikuti beberapa rakan berbangsa Inggeris atau mat saleh untuk kembara ke Jakarta, Bandung, Padang, Surabaya  dan seterusnya ke Bali memberitahu yang dia tidak sempat pun untuk berbelanja atau pergi ke gedung-gedung membeli belah kerana rakan mat saleh tidak minat. Malah, dia juga tidak sempat masuk ke salah sebuah tempat pelancongan yang terkenal di sana kerana rakan mat saleh tidak mahu masuk hanya kerana dikenakan bayaran masuk.

Suka Makan Tapi Tak Suka Memasak

Rajin-rajinkanlah belajar memasak kalau kita suka makan. Kalau asyik makan diluar, berapa banyak duit yang akan habis berbanding jika masak sendiri. Kalau anda rajin, mana tahu satu hari nanti anda akan jadi tokey catering pula.

Suka Menulis Komen Tapi Tidak Suka Menulis Buku

Ramai diantara kita yang suka untuk update facebook, twitter dan instagram dengan status-status yang berlegar-legar di fikiran mereka. Cuba letakkan nombor di setiap komen atau status yang anda upload, entah dah berapa ribu posting yang anda upload. Dah boleh siap satu buku agaknya, dan boleh dijual.

Suka Beli Barang Pakai Buang (Pakai dan Buang)

Mulai sekarang setiap kali nak beli barang, fikirkan sama ada barang tersebut boleh dijual semula atau tidak. Kebanyakan barang perhiasan atau gajet seperti kamera dan telefon bimbit boleh dijual semula jika anda sudah tidak mahu menggunakannya. Mungkin wang yang anda dapat tidak akan dapat mengganti semula nilai barangan tersebut, tetapi dari tiada baik ada.

Suka barang-barang kecik yang menpunyai kos yang besar

Inilah audit yang paling besar yang perlu anda lakukan apabila ingin berhijrah dari poket kosong ke poket tebal. Cuba jumlah kan berapa agaknya kos barang-barang perhiasan di dinding-dinding rumah yang anda gantung serta beberapa fridge magnet yang bersepah di peti sejuk anda….. Jika jumlah nya melebihi RM1 ribu, mmmm mungkin anda boleh fikirkan sama ada anda ingin terus membeli barang-barang perhiasan yang bernilai besar atau jualkan sahaja untuk dapatkan wang lebihan yang boleh disimpan.