Maklumat Terhasil Tanpa Kita Sedari



  • Pernahkah anda terfikir, dalam sehari berapa banyak maklumat yang telah anda tulis – sama ada secara formal mahupun tidak formal. Daripada mesej anda kepada rakan-rakan, mesej kepada ahli keluarga, komen, tips dan status anda di media sosial sehinggalah emel yang anda balas dan hantar kepada orang lain. Pernahkah anda terfikir sekiranya maklumat-maklumat tersebut dikumpul dan di simpan, berapa banyakkah maklumat yang telah anda tulis dan sampaikan kepada orang lain?. 
  • Pernahkah anda  melihat kembali trend penulisan yang telah anda tulis? Adakah ianya berbentuk perkongsian maklumat atau hanya perkongsian kosong atau tips-tips berguna yang dikongsikan untuk kebaikan rakan-rakan dan masyarakat di sekeliling anda?.  Adakah anda juga pernah mengalami situasi di mana gambar, video, suara dan teks yang anda kongsikan kepada rakan-rakan lain, diperolehi semula orang yang berlainan berkali-kali?.

Gambar Hiasan


  • Lazimnya,  anda mengetahui sama ada maklumat yang anda kongsi seperti gambar, video, suara dan teks terlalu banyak apabila anda mendapati telefon yang anda gunakan semakin penuh. Masalah saiz storan telefon yang telah penuh biasanya ditangani sama ada dengan menaiktaraf storan telefon ke saiz yang lebih besar atau anda akan memadam dan menghapuskan beberapa gambar, video, suara dan teks yang anda rasa kurang penting. Pernahkah anda terfikir, mungkin terdapat beberapa gambar, video, suara dan teks yang anda rasa kurang penting itu tetapi mungkin amat berguna pada masa akan datang?. Tetapi, anda tiada pilihan untuk memadamkannya kerana masalah storan yang semakin terhad?

  • Menurut kajian statistik yang diperolehi dari laman sesawang http://www.internetworldstats.com, statistik jumlah pengguna Internet yang paling ramai (data sehingga 30 Jun 2017), adalah dari benua Asia iaitu seramai 1,909,408,707 orang atau sebanyak 55.2% dari jumlah populasi penduduk dunia. Manakala Malaysia pula berada di tangga ke-12 mempunyai jumlah pengguna internet yang paling ramai di benua Asia (data sehingga Mac 2017) atau seramai 69.60% dari jumlah penduduk Asia iaitu 1,874,136,654 (1.87 billion). Sebagai contoh, sekiranya seorang pengguna sahaja di Asia berkongsi sekeping gambar pada satu hari, ini bermakna 1.87 billion keping gambar yang telah dikongsikan di dalam Internet. 

  • Kajian statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) Malaysia pada tahun 2016 pula menunjukkan di antara tiga aktiviti utama pengguna Internet di Malaysia iaitu menulis dan menghantar teks (92.7%),mencari maklumat (90.1%), melayari laman sosial (80.0%), melakukan aktiviti masa lapang dalam Internet (70.9%),  melayari laman elektronik agensi kerajaan (59.0%), melakukan aktiviti perbankan internet  (36.2%) dan melayari laman sesawang beli-belah sebanyak 35.3%. Ini menunjukkan, tiga aktiviti tertinggi yang dilakukan oleh pengguna Internet di Malaysia menjurus kepada penghasilan maklumat dan pengetahuan yang di kongsi dan sebarkan di dalam Internet.



Rajah 1: Tiga Aktiviti Tertinggi Pengguna Internet Di Malaysia
Sumber : Internet Users Survey 2016. (n.d.). from https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/IUS2016.pdf


  • Selain pengguna internet, pemilikan telefon pintar semakin berkembang pantas. Kadar penggunaan Internet yang tinggi ini berkemungkinan di sumbangkan oleh penggunaan telefon pintar yang semakin meningkat di negara ini. Malah, harga bagi setiap telefon pintar juga semakin kompetitif dimana ada diantaranya yang berharga ratusan ringgit sahaja, tidak kurang yang mencecah ribuan ringgit. Seperti statistik yang ditunjukkan di dalam Rajah 1, pelbagai tujuan digunakan oleh pengguna-pengguna telefon pintar di Malaysia. Ada yang menggunakannya untuk berhubung dengan rakan-rakan, ada yang menggunakannya kerana keperluan untuk berkomunikasi, malah tidak sedikit yang menggunakannya sebagai sumber pendapatan. Beberapa kisah menarik menunjukkan terdapat remaja yang menjadikan telefon pintar dan akaun media sosial mereka sebagai sebahagian dari sumber pendapatan. Tidak kurang juga yang menggunakan telefon pintar dan akaun media sosial mereka hanya untuk  berkongsi pendapat dan pengalaman.

  • Tetapi, perkara yang membimbangkan apabila ada di antara mereka yang menggunakan telefon pintar untuk melakukan perklara-perkara yang kurang bermanfaat seperti menulis komen-komen yang tidak bermanfaat, bermain permainan yang melalaikan malah sanggup melakukan cyber bulling (buli siber) dan sebagainya. Justeru, sewajarnya sebagai pengguna yang bijak, anda memastikan penggunaan telefon pintar dibawa kearah kebaikan, untuk menjana kebaikan. Di dalam persekitaran teknologi maklumat (IT), telefon pintar di kategorikan sebagai komputer mikro. Telefon pintar yang merupakan sebuah komputer mikro, melaksanakan empat proses iaitu berperanan untuk memproses input iaitu data  yang dimasukkan ke dalam telefon pintar, memproses data tersebut, menyimpan data di dalam storan seperti cakera keras (hard disk) dan slot mikro, seterusnya setelah diproses dikeluarkan sebagai output di dalam bentuk maklumat yang boleh di baca dan di simpan.

Maklumat berharga di hujung jari

  • Maklumat yang di perolehi dan dihasilkan di dalam penggunaan telefon pintar kebiasannya di dalam bentuk gambar, video, suara dan teks. Keempat-empat maklumat ini dihasilkan dari pelbagai aplikasi yang terdapat di dalam telefon pintar tersebut. Setiap pengguna yang mempunyai telefon pintar mempunyai beberapa aplikasi media sosial seperti FacebookWhatsapp, TelegramInstagram dan lain-lain untuk menghasilkan output tersebut. Manakala, kelaziman, kesedaran dan pemahaman seseorang tentang sesuatu perkara seperti fakta-fakta, data, keterangan atau kemahiran yang diperoleh melalui pengalaman, pembacaan, pemerhatian atau pembelajaran melalui dengan melihat, belajar atau penemuan di kenali sebagai pengetahuan. Untuk itu, boleh dikatakan, segala maklumat yang ditaip, diterjemahkan atau ditulis semula oleh pengguna Internet di dalam aplikasi telefon pintar boleh dirujuk sebagai pengetahuan.

  • Di dalam aplikasi telefon pintar , lazimnya pengguna media sosial ada mewujudkan beberapa group (kumpulan) bergantung kepada keperluan minat dan topik perbincangan mereka. Sebagai contoh, group bagi kelas yang sama di sekolah, group bagi mereka yang terlibat di dalam persatuan yang sama atau juga group bagi mereka yang menyertai kelas tambahan malam. Tujuan utama diwujudkan group sebegini untuk memudahkan perkongsian pengetahuan di antara rakan sesama group. Di dalam istilah pengurusan pengetahuan, groups (kumpulan) disebut sebagai community of practice (komuniti amalan). Menurut John Mitchell dan Sarah Wood (2001) dan Marco Bettoni (2002), kewujudan community of practice memberi banyak kelebihan dan kebaikan kepada individu serta organisasi tersebut. Kelebihan community of practice menurut Marco Bettoni boleh dibahagikan kepada dua iaitu kebaikan kepada individu dan juga organisasi dalam jangka masa pendek dan panjang seperti disenaraikan di dalam jadual di bawah:

  
Jadual 1 : Kelebihan Community of Practice
Sumber : Bettoni, M. (2002). Communities of Practice: Meanings, Benefits and Methodology. from http://www.weknow.ch/marco/A2002/Rome02/Slides_021106.pdf

  • Secara ringkasnya, apabila anda menyertai sesuatu group di dalam aplikasi telefon pintar, bukan sahaja anda akan menyumbangkan pengetahuan di dalam bentuk perkongsian gambar, video, suara atau teks, bahkan kewujudan group tersebut juga memberi banyak manfaat kepada anda sebagai individu dan juga kepada organisasi di mana anda berada, sama ada di institusi pengajian tinggi yang anda belajar atau di syarikat yang anda sertai.
Pengurusan pengetahuan dalam kehidupan seorang pelajar

  • Sebagai seorang pelajar, terutama sekali bagi mereka yang berada di institusi pengajian tinggi, penggunaan telefon pintar sangat memberi faedah. Kebanyakan institusi pengajian tinggi pada masa ini menggunakan aplikasi IT di dalam sistem pembelajaran dan pengajaran. Terdapat institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja menggalakkan penggunaan aplikasi IT untuk proses pembelajaran yang lebih berkesan tetapi juga menggalakkan inisitatif  tersebut untuk memudahkan proses penyimpanan pengetahuan di dalam sistem yang lebih sistematik dan teratur. Ini bertujuan untuk memudahkan rujukan bagi pelajar dan tenaga pengajar serta memudahkan proses menganalisa tahap pencapaian dan pemahaman pelajar. Seorang pelajar juga boleh memanfaatkan penggunaan telefon pintar dengan lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat yang terdapat di laman internet dengan lebih pantas. Maklumat yang diperolehi di dalam Internet, perlu diproses oleh telefon pintar untuk menghasilkan pengetahuan yang boleh dikongsi bersama-sama dengan community of practice. Kebolehupayaan mendapatkan maklumat yang sahih, diolah, diproses, disimpan dan dikongsikan secara bertanggungjawab dapat memberikan manfaat yang besar kepada mereka. Sebagai contoh, terdapat beberapa community of practice yang mewujudkan group untuk menyebarkan maklumat berkaitan maklumat pekerjaan terkini, tips-tips belajar secara berkesan serta maklumat berkaitan bengkel dan sessi latihan yang boleh dimanfaatkan oleh para remaja

  • Di dalam laman sesawang komersil lain seperti syarikat penerbangan, syarikat pengangkutan awam atau syarikat penyedia kewangan, koleksi maklumat dan pengetahuan yang disimpan dan dikumpulkan untuk dirujuk oleh pelanggan dan bakal pelanggan dikenali sebagai frequently asked questions (FAQ) iaitu soalan-soalan yang sering diajukan atau knowledge base (KB) atau bermaksud pengetahuan asas.

Memanfaatkan penggunaan telefon pintar dan menguruskan pengetahuan secara berhemah

  • Setiap maklumat yang anda taip dan komen akan menjadi maklumat kekal sekiranya terdapat pertambahan beberapa proses lain. Apakah proses lain tersebut? Sebagai contoh, apabila anda menaip komen di aplikasi media sosial, komen tersebut akan menjadi kekal atau tidak kekal bergantung kepada sama ada wujudnya tindakan seterusnya (sama ada oleh anda sendiri atau orang lain). Sekiranya tiada siapa yang membaca, menghantar kepada orang lain atau membuat salinan secara screenshot, maklumat tersebut tidak akan menjadi kekal. Tetapi, jika ianya telah dibaca, di hantar  atau dibuat salinan secara screenshot, maka agak sukar untuk anda memadamkan komen-komen tersebut. Apatah lagi sekiranya ia telah disebarkan pula ke laman-laman media sosial yang lain. Untuk itu, sentiasa berhati-hati dengan maklumat dan pengetahuan yang ingin anda kongsikan. Setiap maklumat yang ditulis boleh menjadi maklumat yang berguna mahupun tidak bergantung kepada keputusan yang anda buat.

Walaubagaimanapun, di antara kelebihan  berkongsi pengetahuan secara berhemah iaitu:
  1. Menjana idea-idea baru di dalam persekitaran community of practice yang mempunyai minat dan halatuju yang sama 
  2. Membantu di dalam proses pembelajaran yang lebih berkesan. Rakan sebaya dapat berkongsi pengetahuan berdasarkan pengalaman yang mereka lalui.
  3. Perkongsian pengetahuan dapat mengurangkan masa di dalam pencarian maklumat terbaru dengan bantuan rakan sebaya.
  4. Mempercepatkan proses membuat keputusan yang lebih berkesan dan cepat. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin membeli telefon berjenama baru, cara yang paling cepat dan berkesan untuk mengetahui kelebihan dan kekurangan sesuatu jenama adalah dengan bertanya kepada rakan sebaya.
  5. Mengelakkan berlakunya kesilapan yang sama oleh orang yang lain.

Jadilah seorang remaja yang pintar, dengan menggunakan telefon pintar, sepintar nama yang
diberi. Hargai maklumat dan pengetahuan yang ada di hujung jari anda. Satu hari nanti, anda
pasti akan berbangga melihat kompilasi maklumat yang terhasil di dalam telefon anda dan
pengetahuan yang dikongsikan sangat bermanfaat untuk orang lain.